Saturday 21 December 2013

Ramai lelaki alami pengalaman ejakulasi pramatang

Kuala Lumpur: Satu daripada lelaki di rantau Asia Pasifik dikesan mengalami beberapa bentuk ejakulasi pramatang selepas didiagnos oleh Alat Diagnostik Ejakulasi Pramatang (PEDT).
Perkara ini didedahkan hasil kaji selidik anjuran syarikat farmaseutikal antarabangsa Menarini, kelmarin. Kaji Selidik Kepuasan dan Tingkah Laku Seksual Asia-Pasifik 2013 itu membabitkan lebih 3,500 lelaki dan wanita berusia 18 hingga 45 tahun dari Australia, China, Hong Kong, Korea Selatan, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan dan Thailand. Ia berlangsung dari 18 Mac hingga 2 April 2013.

Di Malaysia, 45 peratus lelaki dan 71 pasangan yang ditemuramah dalam kaji selidik itu mempunyai pengalaman ejakulasi pramatang dan mengaku tidak berpuas hati dengan hubungan mereka Pengurus Besar Menarini Malaysia, Cheah Chor Eng berkata, ejakulasi pramatang kini menjadi masalah serius dalam kalangan lelaki di negara ini. “Malu, tidak terbuka untuk berkongsi masalah dan enggan mendapatkan bantuan doktor menjadi penyumbang kepada peningkatan kes. Masalah ini agak membimbangkan apabila begitu ramai pasangan kecewa dengan kehidupan seksual mereka. “Lebih penting lagi, kaji selidik ini juga menunjukkan ejakulasi pramatang memberi kesan kepada pasangan sama ada secara peribadi dan tahap perhubungan mereka,” katanya.
Cheah berkata, 44 peratus daripada pasangan terbabit mengakui ejakulasi pramatang mewujudkan jurang di antara mereka dengan pasangan. Dalam kes lebih serius, 15 peratus lelaki dan 14 peratus wanita mengakui ejakulasi pramatang boleh membawa kepada keruntuhan rumah tangga.

“Dalam kalangan responden lelaki Malaysia yang mengalami ejakulasi pramatang, 38 peratus cenderung untuk mengelak daripada melakukan seks, manakala 20 peratus menjauhkan diri daripada pasangan masing-masing.

“Kebanyakan lelaki dan wanita tidak berbincang mengenai perkara ini. Faktor utama menghalang mereka berbuat demikian disebabkan malu mengalami masalah ini dan pada masa sama, ketidakpuasan dalam hubungan seksual boleh menyebabkan berlaku penceraian,” katanya.
Sementara itu, Perunding Kanan Pakar Urologi dan Ketua Unit Urologi Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Dr Zulkifli Md Zainuddin berkata, ejakulasi pramatang perlu ditangani melalui rundingan perubatan. “Ejakulasi pramatang sama seperti isu kesihatan seksual lain dan boleh dirawat. Amat penting bagi lelaki mengalaminya dan pasangan mereka menyelesaikan masalah dengan berjumpa doktor. “Mengatasi masalah ini adalah cabaran untuk kebanyakan lelaki. Mereka perlu mengambil langkah penting jika serius untuk merawatnya demi menambah baik kehidupan seksual. “Saranan saya, mulakan perbincangan segera yang membolehkan rawatan dijalankan lebih awal,” katanya.